
Sumber dipetik sebagai berkata pegawai berpangkat superintenden itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung bayaran daripada kontraktor dan sub-kontraktor bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem C4i.
Rumah dan pejabat pegawai berkenaan turut digeledah, menurut sumber Sinar Harian. Permohonan reman pegawai itu akan dibuat esok.
Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan sebanyak 15 rakaman percakapan diambil daripada saksi dan orang kena tahan. Jumlah pembekuan akaun kes berkenaan setakat ini ialah RM7.6 juta, katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, dilapor mengesahkan penahanan ini.
Semalam, SPRM dilaporkan mereman enam individu berumur lingkungan 30 dan 50-an termasuk seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan dan dua pegawai polis disyaki terlibat tuntutan palsu bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem C4i.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata dua pegawai yang berpangkat superintendan dan inspector ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga menjalankan audit kewangan terhadap kontrak C4i pada tahun lepas, dan mendapati terdapat pembayaran yang tidak sepatutnya kepada sebuah syarikat sebelum melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.