
Beliau dilihat meninggalkan ibu pejabat badan anti-rasuah itu pada 6.55 petang, selepas hampir empat jam memberi keterangan, menurut Bernama.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu tiba pada 2.52 petang tadi untuk menyambung rakaman memandangkan beliau dianggap suspek dalam siasatan melibatkan empat bekas pegawainya.
Ismail mengisytiharkan harta kepada SPRM pada 10 Feb dan mula disiasat agensi itu pada 19 Feb. Beliau juga dipanggil untuk soal siasat pada 13,14,17, 19, 20, dan 24 Mac, kemudian disambung lagi pada 24 April, dengan setiap sesi mengambil masa sekitar enam jam.
Ismail pada 22 Feb rebah di kediamannya dan dimasukkan ke hospital kerana masalah berkaitan tekanan darah, sekali gus menyaksikan dua sesi bersama SPRM tidak dapat dijalankan masing-masing pada 5 dan 7 Mac memandangkan beliau mendapat sijil sakit.
SPRM sedang menyiasat penemuan kira-kira RM170 juta wang tunai dan jongkong emas 16kg bernilai jutaan ringgit, yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi termasuk premis dijadikan ‘safe house’.