
Pengurus besar UG Overseas Education, Jimmy Ho, berkata sebarang keraguan di pihak pelajar adalah ‘boleh difahami’, tetapi beliau masih belum nampak kesan sebenar ke atas keputusan pelajar mendaftar di institusi pengajian tinggi AS.
“Pada pandangan kami pelajar Malaysia sangat komited, mematuhi undang-undang, dan didorong oleh pendidikan. Tiada pelajar UG terkesan dengan perkembangan baru-baru ini,” katanya kepada FMT.
UG menawarkan nasihat tentang pendidikan luar negara, khidmat permohonan universiti, dan bantuan dalam permohonan visa pelajar.
Ho menegaskan bahawa dalam jangka masa panjang, tidak mungkin ada kesan yang signifikan pada keputusan pelajar Malaysia melanjutkan pengajian tinggi di AS.
Beliau berkata sistem pendidikan AS memiliki daya tarikan akademik dan profesional yang tiada tandingan. “Tiada negara lain yang menawarkan keluasan peluang, inovasi, dan prasarana yang sama dalam bidang seperti kecerdasan buatan dan teknologi semikonduktor,” tambahnya.
Pada Mac, Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata beliau mengarahkan jabatannya membatalkan lebih 300 visa, kebanyakan dipegang pelajar.
Pada 21 April, Al Jazeera melaporkan bahawa visa sekurang-kurangnya 1,680 pelajar antarabangsa dan graduan dari lebih 260 kolej dan universiti AS dibatalkan oleh pentadbiran Trump.
Universiti-universiti di AS memberikan jaminan dan sokongan kepada pelajar antarabangsa sebagai solidariti, namun ia tidak dapat meredakan kebimbangan.
Ho akui ada terima pertanyaan daripada ibu bapa yang prihatin, tetapi beliau menekankan bahawa AS menjadi tuan rumah kepada lebih sejuta pelajar antarabangsa, dan hanya sekumpulan kecil yang terjejas.
“Walaupun ini kes-kes yang serius dan patut diberi perhatian, memahami gambaran yang lebih luas turut sama penting. Kes-kes ini kelihatan terpencil, dan sebahagian besar pelajar masih meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah,” katanya.
Kebanyakan sasaran pembatalan visa dan tangkapan adalah pelajar yang menyertai tunjuk perasaan pro-Palestin, yang meletus tahun lalu di kampus-kampus di serata AS ketika perang di Gaza.
Perkembangan tragis
Presiden Universiti Sunway, Sibrandes Poppema, berkata walaupun perkembangan baru-baru ini adalah ‘tragis’, dia tidak percaya pelajar yang sedang belajar di AS melalui program ijazah universitinya berdepan risiko.
“Selama bertahun-tahun universiti di Barat bercakap tentang kebebasan akademik dan kebebasan bersuara, namun ini bertentangan dengan kebebasan tersebut. Selain itu, kebanyakan langkah-langkah kelihatan menyalahi undang-undang,” katanya kepada FMT.
Beberapa pelajar antarabangsa yang terbatal visa memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump.
Menurut Associated Press, anggota gabungan American Civil Liberties Union yang mewakili lebih 100 pelajar di New England dan Puerto Rico memfailkan saman meminta mahkamah persekutuan AS memulihkan status visa mereka.
Ho menasihatkan pelajar supaya mematuhi keperluan visa masing-masing, sentiasa ambil maklum perkembangan semasa, dan mendaftar dengan Kedutaan Malaysia untuk sokongan tambahan.
“Memastikan anda sentiasa terlibat dengan pengajian secara sepenuh masa, mengemaskini maklumat dalam dokumen diri, dan mendapatkan bantuan daripada pejabat antarabangsa universiti masing-masing juga langkah penting,” tambahnya.