Jepun mudahkan proses kemasukan pelajar asing

Jepun mudahkan proses kemasukan pelajar asing

Antara langkah-langkah yang akan diambil adalah menyatukan proses saringan kemasukan di satu pejabat kerajaan dan membenarkan dokumen diserahkan secara dalam talian.

Jepun akan melonggarkan larangan yang secara de facto menghalang kemasukan pelajar dan pekerja asing selama hampir dua tahun. (Gambar AP)
TOKYO:
Dengan bilangan pelajar asing yang tidak sabar-sabar untuk memulakan pengajian di Jepun semakin bertambah, kerajaan bersetuju untuk memudahkan saringan kemasukan susulan pelonggaran sekatan perjalanan berkait Covid-19 bulan depan.

Pada Khamis, Perdana Menteri Fumio Kishida mengumumkan Jepun akan melonggarkan larangan yang secara de facto menghalang kemasukan pelajar dan pekerja asing selama hampir dua tahun.

Namun, para pelajar dan universiti bimbang saringan kemasukan yang kompleks akan melambatkan lagi ketibaan mereka.

Menteri Pendidikan Shinsuke Suematsu menyentuh mengenai jumlah besar pelajar antarabangsa yang menunggu untuk memasuki Jepun ketika bercakap dengan pemberita pada Jumaat.

“Saya akan bekerja dengan lebih rapat dengan agensi terbabit untuk menyelesaikan situasi ini dan menjamin setiap pelajar dapat masuk ke negara ini,” katanya.

Mengikut peraturan semasa, universiti yang menerima pelajar antarabangsa perlu mengemukakan enam dokumen fizikal, termasuk ikrar bertulis, jadual aktiviti dan salinan pasport.

Pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam proses kelulusan, seperti Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, serta Sains dan Teknologi.

Sebagai respons kepada gesaan untuk memudahkan proses ini, kerajaan memutuskan untuk menyatukan proses saringan di satu pejabat kerajaan dan akan membenarkan semua dokumen diserahkan secara dalam talian.

Sebelum ini, saringan dijalankan mengikut aturan permit pemastautin dikeluarkan, tetapi pada masa hadapan, jadualnya akan ditentukan berdasarkan perancangan pelajar.

Kerajaan Jepun membuka sempadan untuk pelajar asing pada November, namun menarik balik keputusan tersebut pada akhir bulan yang sama berikutan gelombang jangkitan yang didorong oleh varian Omicron.

Ketibaan baharu pemegang visa pelajar berjumlah lebih 120,000 setahun antara 2017 dan 2019, menurut Agensi Perkhidmatan Imigresen. Jumlah itu menjunam kepada 49,748 pada 2020, dan 11,639 tahun lepas hingga November.

Sementara itu, setakat 4 Jan, terdapat 152,000 pelajar antarabangsa diberikan taraf pemastautin tetapi masih menunggu untuk memasuki Jepun, menurut agensi tersebut.

Universiti Antarabangsa Akita di utara Jepun pada November mempunyai 90 pelajar antarabangsa menunggu untuk masuk. Selepas kerajaan menutup semula sempadan, kira-kira 50 pelajar membatalkan rancangan mereka untuk belajar di Jepun.

Universiti tersebut merancang untuk mula menerima pelajar antarabangsa seawal Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.