Dr M gesa Zahid mohon maaf atas dakwaan enggan lepas aset parti

Dr M gesa Zahid mohon maaf atas dakwaan enggan lepas aset parti

Dr Mahathir Mohamad desak Zahid Hamidi membuat permohonan maaf itu dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.

mahathir ahmad zahid hamidi
Dr Mahathir Mohamad mendakwa Zahid Hamidi membuat kenyataan fitnah dengan mendakwanya enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik Umno.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad meminta Presiden Umno Zahid Hamidi memohon maaf kepadanya kerana mendakwa enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik parti itu.

Menerusi surat tuntutan (LOD) diserahkan peguamnya Rafique Rashid, perdana menteri keempat dan ketujuh itu meminta permohonan maaf itu dibuat dalam tempoh tujuh hari bermula dari 25 Apr.

Beliau juga mendesak Zahid membuat permohonan maaf itu dan penafian terhadap dakwaannya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno serta dibuat tanpa syarat dan tidak diulangi pada masa depan.

“Permohonan maaf secara terbuka dan bertulis dalam akhbar-akhbar berita dan di semua platform media sosial rasmi Dato Seri dan kekalkan siaran tersebut untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.

“Dr Mahathir Mohamad merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara ini sekiranya difikirkan suaimanfaat dan perlu, termasuk kepada pihak-pihak lain,” katanya.

Terdahulu, Zahid menafikan beliau menuduh Mahathir enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik parti itu.

“Saya tidak pernah menyebut nama beliau. Apabila ditanya wartawan, saya sebut seseorang (berhubung status tandatangan pindah milik tanah Umno),” katanya pada sidang media di Tapah.

Mahathir yang juga bekas presiden Umno sebelum ini dilaporkan berkata, tak timbul beliau tidak mahu melepaskan harta parti kerana beliau tandatangan surat akuan bagi permohonan kebenaran untuk pindah milik harta, bertarikh 27 Okt 2015.

Surat akuan itu, ditandatangani oleh beliau dan tiga pemegang amanah lain, dinyatakan dalam afidavit sokongan kepada saman yang difailkan oleh Umno, katanya.

Zahid sebelum ini dipetik Berita Harian sebagai berkata, seorang daripada empat pemegang amanah masih belum menandatangani dokumen pemindahan milik sebidang tanah di Kuala Lumpur.

Menurutnya, firma guaman menghantar surat kepada individu terbabit untuk melepaskan pegangan itu tetapi individu itu masih belum berbuat demikian sehingga kini.

Sehari sebelumnya, media melaporkan Umno memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepadanya.

Menurut laporan, pemilik geran didaftarkan atas nama pemegang amanah iaitu Mahathir, Musa Hitam, Allahyarham Daim Zainuddin, dan Allahyarham Sanusi Junid.

Sebelum ini, Mahathir turut meminta Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi memohon maaf berhubung isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.