
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Abdul Rahman Mohamad, berkata beliau melihat isu penafian terhadap kaum tertentu tidak berbangkit di bawah kerajaan perpaduan bersama DAP termasuk cubaan menyentuh soal perlembagaan.
Beliau yang juga timbalan menteri sumber manusia berkata, pengalamannya berada di bawah kementerian itu bersama Steven Sim dari DAP juga tidak menimbulkan isu malah lebih banyak hak Melayu diperjuangkan.
“Saya banyak berbincang dengan beliau (Steven Sim), malah Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook juga tidak mengamalkan ciri-ciri bahawa parti itu parti cauvinis.

“Di Kementerian Sumber Manusia juga, banyak hak Melayu diperjuangkan. Semua dibantu tanpa membezakan bangsa,” katanya ketika ditemui membantu calon BN Yusri Bakir berkempen pada PRK Ayer Kuning, semalam.
Selain itu, Ahli Parlimen Lipis itu turut menjelaskan tiada istilah ‘UmDAP’, sebaliknya kerjasama Umno dan DAP adalah di bawah satu bumbung kerajaan perpaduan.
Katanya, beliau yakin pengundi Ayer Kuning tidak akan termakan hasutan pembangkang untuk menolak BN dengan ‘modal sama’ selain menyuarakan keyakinan majoriti kepada parti itu akan meningkat berdasarkan trend sokongan semasa.
“Bagi saya mudah, DAP sekarang bukan DAP zaman dulu kerana ia di bawah era baharu,” katanya.
PRK Ayer Kuning Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Yusri, yang akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek dan PSM yang diwakili KS Bawani.