AirBorneo aspirasi Sarawak perkukuh hubungan serantau, kata premier

AirBorneo aspirasi Sarawak perkukuh hubungan serantau, kata premier

Abang Johari Openg berkata langkah mengendalikan syarikat penerbangan sendiri adalah satu daripada usaha memperkukuh kerjasama itu.

johari openg
Komitmen Sarawak adalah untuk meningkatkan kesalinghubungan udara dengan memudahkan perjalanan serta perniagaan dengan bandar utama dan ibu negara seluruh Asean, kata Abang Johari Openg. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo, yang dijadualkan memulakan operasi tahun hadapan, membawa aspirasi untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dalam kalangan negara anggota Asean, kata Premier Abang Johari Openg.

Beliau berkata langkah mengendalikan syarikat penerbangan sendiri adalah satu daripada usaha memperkukuh kerjasama khususnya dalam mempertingkatkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan dengan memanfaatkan lokasi strategik, sumber yang melimpah serta ikatan budaya bagi memacu pertumbuhan serantau dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Selaras dengan aspirasi kami untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau, Sarawak dengan bangganya mengumumkan pelancaran syarikat penerbangan kami AirBorneo, yang dijadualkan memulakan operasi pada 2026,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Gala Negeri sempena Mesyuarat ke-33 Majlis Komuniti Sosio-Budaya Asean (ASCC) di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari berkata komitmen Sarawak untuk meningkatkan kesalinghubungan udara dengan memudahkan dan mempercepat urusan perjalanan serta perniagaan dengan bandar-bandar utama dan ibu negara di seluruh Asean.

Beliau berkata pembangunan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu serta pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang, Kota Samarahan akan mengubah Sarawak menjadi hab penerbangan serta perkapalan serantau.

Menurut beliau, ia juga akan memperluas akses udara dan laut serta menambahkan daya tarikan Sarawak kepada komuniti perniagaan, para pelabur dan pelancong.

Abang Johari berkata Sarawak boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) iaitu satu inisiatif subserantau bagi menyokong agenda integrasi ekonomi Asean yang lebih luas.

“Sempadan dadat yang kita kongsi bersama Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia membuka peluang kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan melalui inisiatif strategik.

“Pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan akan menjana limpahan ekonomi untuk Pulau Borneo, sekali gus mewujudkan peluang baharu dalam pelaburan, perdangan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Majlis makan malam itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing serta Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn.

Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya (ASCC) yang sedang berlangsung ini merupakan perhimpunan dwitahunan peringkat menteri yang memfokuskan kepada isu-isu sosiobudaya utama di seluruh rantau Asean.

Mesyuarat berkenaan yang berlangsung dari 22 hingga 26 April, menerima kehadiran wakil dari kesemua 11 negara anggota Asaean iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.