
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata dua pegawai berkenaan yang berpangkat superintendan dan inspektor kini ditahan reman selama tujuh hari bermula pada hari ini.
Razarudin berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman juga menjalankan audit kewangan terhadap kontrak C4i pada tahun lepas dan mendapati terdapat pembayaran yang tidak sepatutnya kepada sebuah syarikat sebelum melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
“Apa-apa kesalahan membabitkan rasuah yang kita temukan dalam siasatan, kita akan bekerjasama dengan SPRM termasuk dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, SPRM dilaporkan mereman enam individu berumur lingkungan 30 dan 50-an termasuk seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan dan dua pegawai polis disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem C4i.
Perintah reman hingga 30 April itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.