Tukar tempat duduk DUN perkara biasa, Hamzah nafi Bersatu Perak pecah

Tukar tempat duduk DUN perkara biasa, Hamzah nafi Bersatu Perak pecah

Timbalan Presiden Hamzah Zainudin kata tukar tempat duduk berdasarkan jawatan semasa dalam parti adalah perkara biasa.

bersatu logo
Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin kata tiada perpecahan dalam Bersatu Perak susulan permintaan tukar tempat duduk wakil rakyat parti itu.
TAPAH:
Bersatu menepis dakwaan mengatakan ada perpecahan di Perak susulan permintaan ketua Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu, kepada DUN untuk menukar tempat duduk wakil rakyat parti itu.

Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menjelaskan pertukaran tempat duduk di dewan legislatif berdasarkan jawatan semasa dalam parti adalah perkara biasa.

“Pertukaran jawatan ini biasa. Bukan hanya Bersatu, mana-mana parti ianya berlaku,” katanya pada sidang media ketika berkempen di Kampung Dato Kamaruddin sempena PRK DUN Ayer Kuning.

Seorang pemimpin Bersatu yang tidak dinamakan beritahu FMT bahawa beberapa Adun dan ketua bahagian tidak berpuas hati dengan Faisal, yang meminta Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin, menukar kerusi dengan Adun Changkat Jong, Nadziruddin Bandi.

Menurut laporan 22 Apr itu, Adun terbabit dan ketua bahagian berkata mereka tidak dirujuk mengenai langkah itu, yang menurut mereka patut dibincangkan.

Faizal berkata permintaan itu disebabkan Nadziruddin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai setiausaha Bersatu Perak, jawatan yang dilepaskan Zainol, tetapi beberapa bahagian Bersatu melihat langkah itu cubaan membenarkan Nadziruddin mengambil alih peranan Zainol sebagai pemangku ketua pembangkang, selepas Razman Zakaria daripada PAS digantung selama enam bulan.

“Saya sudah jumpa Faizal, kita sudah bincang, tak ada masalah. Semalam kita dengan Zainol pergi kempen PRK Ayer Kuning, turun ke bawah. Tak ada masalah,” kata Hamzah.

Beliau turut menepis analisis mengulangi dakwaan perpecahan itu. “Kalau nak guna analisis orang itu menyebabkan perpecahan itu tak betul,” katanya.

Semalam, Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya berkata laporan mendakwa Presiden Muhyiddin Yassin mengarahkan Hamzah meredakan ketegangan dalam Bersatu Perak menunjukkan kelemahan Faizal.

Beliau berkata perkembangan di Perak mengulangi ketegangan di Negeri Sembilan, ketika Faizal memimpin Perikatan Nasional di situ.

Tawfiq berpandangan langkah drastik perlu diambil segera kerana jika tidak Bersatu Perak akan berdepan kemelut politik lebih serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.