Sistem tunggal kemasukan SBP beri peluang lebih adil, kata Wanita Umno

Sistem tunggal kemasukan SBP beri peluang lebih adil, kata Wanita Umno

Ketua Wanita Noraini Ahmad berkata ibu bapa dan pelajar boleh membuat keputusan lebih yakin tanpa teragak-agak menunggu tawaran alternatif.

Sebelum ini sistem kemasukan ke sekolah berasrama penuh diuruskan KPM manakala MRSM ditadbir secara berasingan oleh Mara menyebabkan persaingan tidak seimbang dan pertindihan dalam kalangan pemohon. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Wanita Umno berkata sistem tunggal bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mampu mengelakkan risiko pertindihan tawaran, selain memastikan kemasukan pelajar lebih efisien dan adil.

Ketuanya, Noraini Ahmad, yang juga bekas menteri pengajian tinggi berkata ibu bapa dan pelajar juga boleh membuat keputusan lebih yakin tanpa teragak-agak menunggu tawaran alternatif.

Katanya, inisiatif itu juga akan membuka peluang lebih luas kepada pelajar berkelayakan, terutama daripada latar belakang sosioekonomi yang pelbagai untuk menikmati pendidikan asrama berkualiti tinggi.

 Noraini Ahmad.
Noraini Ahmad.

“Dengan pengurusan tawaran lebih teratur, perancangan pengambilan pelajar dapat dioptimumkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang kritikal, sekali gus menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.

“Kami berharap kolaborasi erat antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Mara melalui penyelarasan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi pendidikan demi masa depan anak-anak,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, usaha itu juga selari komitmen kerajaan untuk mencapai sasaran 70% pelajar SBP dan MRSM dalam jurusan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata sistem kemasukan SBP dan MRSM akan diselaraskan mulai pengambilan Januari tahun depan.

Beliau berkata, pemohon masih boleh memohon memasuki dua institusi pendidikan tersebut, namun selepas ini mereka hanya akan menerima satu tawaran sahaja bagi mengelakkan pertindihan.

Sebelum ini, sistem kemasukan ke SBP diuruskan KPM manakala MRSM ditadbir secara berasingan oleh Mara menyebabkan persaingan tidak seimbang dan pertindihan dalam kalangan pemohon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.