
Tuntutan itu bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem command & control, communication & computer integration (C4i).
Perintah reman tujuh hari hingga 30 April dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Sumber berkata, suspek terdiri lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan sekitar 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta di mana sebahagian kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.
“Projek C4i keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diuruskan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Menurut sumber, penggeledahan dilakukan di 15 lokasi termasuk KDN dan beberapa syarikat sekitar Johor, Selangor, Putrajaya serta Kuala Lumpur.

“Susulan itu, SPRM menyita empat kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta selain membekukan 51 akaun bank melibatkan 30 akaun individu dan 21 akaun perniagaan milik 10 syarikat keseluruhannya bernilai kira-kira RM3.5 juta.
“Menerusi operasi dijalankan dengan kerjasama PDRM, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM9,000, USD388, Riyal 2,340, QAR 1,789, Dirham 15,055 dan KZT 21,219, dan sembilan telefon bimbit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, kes juga disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil dari Aktiviti Haram 2001 (Amla).