
PETALING JAYA: Seorang pemandu kereta maut selepas kenderaannya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang papan iklan di Bandar Serenia menghala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kemalangan membabitkan Perodua Myvi dipandu pemuda berusia 25 tahun.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.44 pagi sebelum menghantar tujuh anggota dan pegawai JBPM KLIA ke lokasi.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, menurut Harian Metro.