
Ahli Majlis Zon 23, Maisara Ismail, berkata kerja memasang tambahan ‘sheet pile’ atau cerucuk kepingan dilakukan segera bagi mengelakkan kejadian ban pecah berulang lebih teruk.
Katanya, cadangan itu diajukan kepada pemaju sebelum ini namun mereka mendakwa ‘sheet pile’ yang dibina selepas insiden kedua pada Disember tahun lalu sudah mencukupi dan selamat.

“Akhirnya, semalam berlaku lagi benteng pecah dan pemaju sedia ambil tanggungjawab untuk segerakan penambahbaikan struktur dengan menambah lapisan ‘sheet pile’ sepanjang benteng kolam,” katanya kepada FMT.
“Menteri besar (Amirudin Shari) daripada kejadian lepas dah minta (pemaju) segerakan (perbaiki struktur kolam), kerana kolam ini adalah tanggungjawab pemaju sebab belum diserahkan kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran).”
Beliau berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara MPKS dan pihak pemaju pagi tadi.
Dalam pada itu, Maisara berkata bagi penyelesaian jangka panjang pemaju sedia melaksanakan beberapa cadangan termasuk kemungkinan menutup kolam takungan tersebut namun ia turut melibatkan komitmen kerajaan negeri.
“(Pemaju setuju) kolam ditutup, tetapi ia juga libatkan komitmen dan dana kerajaan negeri di mana kita kena sediakan perparitan yang lebih besar untuk aliran air keluar di kawasan hilir.
“Nanti kita akan adakan perjumpaan bersama pihak pemaju dan wakil penduduk untuk menjelaskan secara terperinci perkara ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, seramai 196 penduduk yang kediaman terjejas akibat kejadian ban pecah Disember tahun lalu juga sudah menerima pampasan oleh pemaju yang diserahkan olehnya pada Ramadan baru-baru ini.
“Nilai keseluruhan berjumlah hampir RM1.4 juta dibayar berdasarkan nilai kerugian ditanggung setiap pemilik,” katanya.
Dalam kejadian 5.30 pagi semalam, sebanyak 35 rumah dinaiki air selepas kolam takungan berhampir Taman Seri Alam, Saujana Utama, pecah susulan hujan lebat berterusan selama tiga jam.
Pada 29 Dis tahun lalu, air melimpah setinggi 0.3m dan melanda kawasan perumahan secara mendadak sehingga digambarkan penduduk sebagai ‘tsunami kecil’.
Kali pertama kolam takungan itu pecah 10 tahun lalu namun tidak seteruk dua kejadian tersebut.
Susulan tiga kejadian itu, penduduk Taman Seri Alam menuntut kolam takungan milik Taman Hillpark ditutup, sebelum berlaku insiden lebih tragis termasuk kehilangan nyawa.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Sazalie Basran, mendakwa struktur binaan kolam itu juga tidak selamat kerana dasarnya lebih tinggi daripada rumah penduduk Taman Seri Alam, selain menggunakan ‘rubber wall’ yang kebiasaannya digunakan di tepi lebuh raya untuk menahan gerakan struktur tanah.