
Langkah ini penting bagi mencegah komplikasi serius dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital akibat jangkitan influenza dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
“KK menyeru semua warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit pernafasan kronik atau tekanan darah tinggi untuk mengambil peluang ini bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya menjelang musim jangkitan,” menurut kenyataan.
KKM berkata terdapat terdapat 57,093 slot janji temu vaksinasi yang tersedia di 649 klinik kesihatan (KK) terpilih, dan orang ramai boleh mendapatkan vaksin di fasiliti kesihatan kerajaan sehingga akhir Ogos 2025.
“Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera. Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan, melayari portal rasmi atau media sosial KKM, atau hadir sendiri ke KK untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Bagi warga emas yang tidak mempunyai akses kepada MySejahtera, mereka boleh hadir secara walk-in ke KK yang disenaraikan untuk pendaftaran dan suntikan, tertakluk kepada slot yang masih tersedia,” katanya.
Saranan ini sebahagian daripada perkembangan terkini Program Imunisasi Influenza Warga Emas yang menawarkan vaksin percuma kepada warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik.
Sehingga 20 April, sebanyak 59.47% warga emas dengan komorbid menerima suntikan vaksin influenza, berdasarkan jumlah dos vaksin yang dibekalkan ke fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara, sejak program ini bermula pada 18 Feb.