
Anwar juga meminta pihak berkaitan untuk memantau perkara itu secara berkala supaya negara sentiasa peka dan pantas mengadaptasi perkembangan situasi global.
“Ini adalah ikhtiar kerajaan Madani supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaya saing dan menjadi destinasi utama pelaburan di rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Perdana menteri berkata semasa menghadiri mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-47, beliau turut mengulangi keperluan meningkatkan sinergi kerjasama dan perbincangan di antara kerajaan persekutuan dan negeri.
“Ia sebagai usaha memperkukuh daya tahan domestik dalam ketidaktentuan ekonomi dunia melalui usaha-usaha mempercepatkan kelulusan projek-projek pembangunan yang akan membuka pasaran baharu,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Anwar berkata kerajaan persekutuan dan negeri perlu bersiap sedia sepenuhnya menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, khususnya susulan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Beliau berkata semua rancangan perlu dilaksanakan dengan segera bagi memperkukuh ekonomi negara dalam menghadapi sebarang kejutan atau gangguan dari luar.
AS mengenakan tarif ‘timbal balik’ 24% ke atas Malaysia, serta tarif antara 10% hingga 49% ke atas negara-negara Asean, yang kini digantung selama 90 hari. Di samping itu, satu tarif minimum menyeluruh sebanyak 10% turut dikenakan ke atas semua import dari mana-mana negara.