Tiada aktiviti lombong bijih timah dasar laut di Manjung, kata MB Perak

Tiada aktiviti lombong bijih timah dasar laut di Manjung, kata MB Perak

Saarani Mohamad berkata Jabatan Mineral dan Geosains mengesahkan tiada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong dikeluarkan untuk aktiviti perlombongan di kawasan itu.

Saarani Mohamad
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata hanya ada aktiviti perlombongan pasir silika dijalankan pemaju ketika ini, 5km dari kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang.
IPOH:
Tiada sebarang aktiviti perlombongan bijih timah dasar laut di kawasan pesisir pantai atau muara Sungai Batu, Manjung, kata Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

Beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesahkan tiada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) dikeluarkan untuk aktiviti perlombongan di kawasan itu.

“Sebarang aktiviti perlombongan hanya boleh dijalankan setelah mendapat kelulusan SKSPM daripada JMG. Walaupun terdapat permohonan, ia masih dalam penilaian di peringkat Jawatankuasa SKSPM Ibu Pejabat JMG.

“Ketika ini, hanya aktiviti perlombongan pasir silika dijalankan pemaju berdasarkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci dan Laporan Pengurusan Alam Sekitar bertarikh 13 Jun 2023 yang diberikan kepada pihak syarikat.

“Lokasi aktiviti berkenaan terletak sejauh 5km dari kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja dalam sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Sementara itu, Saarani berkata Pejabat Tanah dan Galian negeri memaklumkan, berdasarkan pengubahan Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030, kawasan pesisir pantai itu dikenal pasti sebagai kategori Kawasan Sensitif Alam Sekitar Persisiran Pantai Tahap 3 terhadap ekosistem sumber marin dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti perlombongan.

“Keputusan juga telah dibuat di peringkat Jawatankuasa Teknikal Geospatial Pembangunan Mineral Bil. 1/2024 pada 7 Okt 2024 untuk tidak mempertimbangkan sebarang permohonan perlombongan atau pembaharuan lesen di kawasan berkenaan, selaras komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan alam sekitar dan komuniti nelayan.”

Pada 14 Feb lepas, Persatuan Nelayan Manjung Utara menyuarakan kebimbangan sekiranya aktiviti perlombongan bijih timah dasar laut di pesisir pantai Hutan Simpan Segari, Lumut dibenarkan kerana dibimbangi menjejaskan pendapatan nelayan.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Manjung Utara, Mohamad Faizal Mat Zin, berkata perlombongan itu jika dibenarkan bakal menjejaskan ekosistem di perairan yang menjadi sumber rezeki lebih 1,500 nelayan di utara dan selatan Manjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.