
Katanya, beliau menyanyi pada majlis itu secara sukarela sebagai tanda menghargai warga kerja KKM.
“Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Biduanita negara itu berkata, penting bagi beliau menjelaskan perkara itu bagi menghentikan penyebaran berita yang tidak sahih.
Beliau berkata demikian susulan kritikan hebat terhadap KKM berhubung penganjuran majlis sambutan hari raya yang dikatakan secara besar-besaran semalam.
Ada pihak turut mempersoalkan perbelanjaan kementerian itu menganjurkan majlis sebegitu meriah, termasuk dengan persembahan artis popular tanah air.
Berdasarkan beberapa gambar yang dimuat naik di akaun Facebook Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, selain Siti, penyanyi veteran Jamal Abdillah turut membuat persembahan.