Malaysia, Indonesia sepakat iktiraf logo halal masing-masing

Malaysia, Indonesia sepakat iktiraf logo halal masing-masing

Kata sepakat dicapai ketika kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi ke atas Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi Prabowo Subianto
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto ketika kunjungan hormatnya ke Istana Merdeka, Jakarta Pusat, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia dan Indonesia sepakat bahawa logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus dapat diguna pakai bagi produk halal dieksport ke Indonesia tanpa perlu prosedur operasi standard baharu, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

“Malaysia juga akan mengiktiraf sijil halal Indonesia bagi produk yang dieksport ke Malaysia,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, hari ini.

“Ini satu pencetus perubahan yang harus kita hargai atas komitmen pemain industri apatah lagi ia mendapat pengendorsan daripada Menteri Agama Indonesia dan apabila saya mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka.”

Kerjasama dalam industri halal, nelayan, pendidikan tinggi dan isu Gaza adalah antara perkara dibincangkan dalam kunjungan hormat Zahid, lapor Bernama.

Dalam pertemuan itu, katanya, beliau turut mencadangkan agar forum industri halal yang akan dianjurkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia diadakan pada peringkat serantau, selain hasrat penubuhan Majlis Halal Asean disampaikan kepada Sekretariat Asean untuk persetujuan negara anggota.

“Majlis Halal Asean perlu diwujudkan bagi mengkoordinasikan bukan hanya pengeluaran sijil halal tetapi juga menjadikan Asean sebagai pasaran besar untuk produk-produk dalam kalangan negara (serantau),” katanya.

Sementara itu, mengenai isu nelayan di perairan kedua-dua negara, Zahid berkata, beliau dan Prabowo bersetuju pihak yang melangkaui sempadan negara masing-masing diberi amaran terlebih dahulu berdasarkan memorandum persefahaman yang dimeterai pada 2012.

“Kita minta nelayan dari Malaysia untuk terus menggunakan Sistem Pengenalan Automatik dan tidak dipadamkan semasa berada di Selat Melaka kerana pihak berkuasa kita akan memantau kedudukan atau lokasi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan usaha mempromosi pendidikan tinggi dalam jurusan teknikal, kejuruteraan dan profesional di Indonesia agar lebih ramai pelajar negara itu melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Mengulas mengenai lawatannya ke Indonesia, Zahid berkata, beliau sangat berpuas hati kerana hal ehwal di luar kerangka hubungan dua hala, politik dan geoekonomi serantau malah pada peringkat antarabangsa telah dibincangkan.

“Kita harap ada susulan daripada Wisma Putra dan juga Kementerian Luar Indonesia serta jabatan lain yang berkaitan,” katanya.

Ahmad Zahid mengakhiri lawatan rasmi tiga harinya ke negara itu hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.