
Menteri besar yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Saarani Mohamad, berkata tindakan itu bukan sahaja menunjukkan pembangkang ketandusan modal kempen sebaliknya boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat.
“Bila mereka (PN) mahu politikkan perkara ini (babi) dia cari sampai dapat, termasuklah melawat kawasan di luar DUN Ayer Kuning. Melaratlah lepas ini, pergi cari jalan rosak sampai ke Lenggong.
“Akan bangkitlah (timbul isu), kerajaan Perak (tak baiki) jalan rosak di Lenggong walaupun yang mengundi di Ayer Kuning sahaja,” katanya ditemui media selepas seminar keibubapaan di Sekolah Menengah Sains Tapah.
Terdahulu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad mendesak kerajaan negeri menjawab pendedahan kewujudan ladang babi di Kampung Poh, terletak kurang 5km dari kawasan PRK yang menjadi antara punca pencemaran Sungai Bidor.
“Kami telah mengambil sampel dan menghantar ke makmal swasta bagi pengesahan, ujian mengesahkan efluen dilepaskan ke Sungai Bidor tercemar serta tidak dirawat.
“Ini bercanggah dengan penjelasan exco dan kerajaan negeri pada sidang DUN iaitu semua penternak babi mematuhi Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1993 dan Kaedah-Kaedah Pengawalan Penternakan Babi 2009,” katanya.
Idris juga menafikan tawaran calon PN Abd Muhaimin Malek untuk menghapuskan ladang babi haram jika menang PRK Ayer Kuning, Sabtu ini, gimik pilihan raya untuk meraih sokongan pengundi.
Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berwajib menyiasat dakwaan tersebut.
Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan siasatan untuk mengesahkan sama ada air sungai berkenaan tercemar atau tidak.
“Biarlah jabatan kerajaan bertanggungjawab (melakukan siasatan)…cuma jangan politikkan sahaja,” katanya.