KPDN tubuh jawatankuasa teknikal tangani isu bekalan, harga barangan keperluan

KPDN tubuh jawatankuasa teknikal tangani isu bekalan, harga barangan keperluan

Jawatankuasa akan turut dianggotai wakil KPKM, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta agensi lain berkaitan, kata menteri KPDN.

Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa teknikal itu akan pantau barang keperluan seperti daging, beras dan minyak masak, dengan pelan intervensi kerajaan akan dipertimbang jika wujud isu harga dan bekalan di pasaran.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac bersetuju dengan syor KPDN menubuhkan jawatankuasa yang berperanan memperkasakan kerjasama rentas kementerian untuk menangani isu berkaitan harga dan bekalan barangan.

Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN Mohd Sayuthi Bakar dan akan turut dianggotai wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi dan agensi berkaitan.

Jawatankuasa itu akan bersidang setiap dua bulan, dengan mesyuarat pertamanya akan diadakan bulan depan, tambahnya.

“Penubuhan jawatankuasa ini juga bertujuan menambah baik bentuk kerjasama ad hoc kepada gerak kerja yang lebih strategik dan berterusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDN, lapor Bernama.

“Alhamdulillah tahun ini kita dapat bendung elemen yang menganggu bekalan barangan dan penstabilan harga, namun Jemaah Menteri mahu ia dapat diteruskan dan ditambah baik (menerusi jawatankuasa ini).”

Armizan berkata, jawatankuasa itu akan memantau barang keperluan seperti daging, ayam, telur, beras dan minyak masak, dengan pelan intervensi kerajaan akan dipertimbangkan jika wujud isu harga dan bekalan di pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.