‘Kita tak main-main bawa isu ladang babi’, kata pemimpin PAS

‘Kita tak main-main bawa isu ladang babi’, kata pemimpin PAS

Naib Presiden Idris Ahmad tegaskan PAS serius membantu menghapuskan ladang babi haram di sekitar Ayer Kuning.

LADANG BABI - KAMPUNG POH BIDOR
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari antara wakil rakyat parti itu meninjau anak Sungai Bidor yang didakwa tercemar akibat kewujudan ladang babi di Kampung Poh.
TAPAH:
PAS menafikan tawaran calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek untuk menghapuskan ladang babi haram jika menang PRK Ayer Kuning, Sabtu, ini gimik pilihan raya untuk meraih sokongan pengundi.

Naib Presiden Idris Ahmad sebaliknya memberi jaminan Muhaimin jika terpilih sebagai wakil rakyat akan menjadi pendesak yang kuat kepada kerajaan negeri sehingga masalah itu diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, desakan juga akan dibuat untuk pihak berwajib memindahkan semua ladang babi berlesen di kawasan kampung Melayu selain menggesa sistem ladang tertutup dan ‘zero discharge’ dilaksanakan sebelum akhir tahun.

“PN serius bawa isu ini bukan main-main walaupun ada suara (sinis).

Idris Ahmad
Idris Ahmad.

“Bagi kita nak pelihara boleh (ternak babi di ladang), tapi kena ikut enakmen telah dibuat…kita desak tutup yang haram termasuk di kawasan lain bukan hanya Ayer Kuning,” katanya pada sidang media.

Usai sidang media, wartawan dibawa ke anak Sungai Bidor untuk meninjau keadaannya yang didakwa tercemar akibat kewujudan ladang babi.

Lawatan itu turut disertai Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin, Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin.

Semalam, Muhaimin mengumumkan tawaran jika menang PRK Ayer Kuning antaranya untuk menghapuskan ladang babi haram yang didakwa mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan kesihatan penduduk.

Sementara itu, Idris mendesak kerajaan negeri menjawab pendedahan kewujudan ladang babi di Kampung Poh yang menjadi antara punca pencemaran Sungai Bidor.

“Kami telah mengambil sampel dan menghantar ke makmal swasta bagi pengesahan, ujian mengesahkan efluen dilepaskan ke Sungai Bidor tercemar serta tidak dirawat.

“Ini bercanggah dengan penjelasan exco dan kerajaan negeri pada sidang DUN iaitu semua penternak babi mematuhi Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1993 dan Kaedah-Kaedah Pengawalan Penternakan Babi 2009,” katanya.

Dakwanya, air dari ladang itu disalurkan terus ke sungai selain jaraknya dengan penempatan penduduk hanya 140m, bertentangan jarak minimum 200m ditetapkan pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.