Bekas MB Perak terima watikah lantikan TYT P Pinang esok

Bekas MB Perak terima watikah lantikan TYT P Pinang esok

Ramli Ngah Talib, yang menerima watikah itu di Istana Negara esok akan menggantikan Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Ramli Ngah Talib berkhidmat sebagai menteri besar Perak ke-8 dari 1983 hingga 1999. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Bekas menteri besar Perak, Ramli Ngah Talib dilaporkan bakal menerima watikah lantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang esok.

Menurut Sinar Harian yang memetik sumber, satu majlis penyerahan watikah lantikan akan diadakan di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sementara itu, satu sumber atasan yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara tersebut memberitahu FMT pelantikan bekas Speaker Dewan Rakyat itu telah ‘dimuktamadkan kira-kira sebulan lalu’.

“Kerajaan negeri kini sedang membuat persiapan majlis angkat sumpah Yang di-Pertua Negeri yang baharu. Kami menjangkakan majlis itu akan berlangsung dalam minggu ini atau pada 1 Mei,” kata sumber itu.

Pada Mac lalu, timbul spekulasi bahawa tokoh Umno itu akan dilantik ke jawatan tersebut, susulan laporan bahawa Yang di-Pertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak, mungkin tidak akan disambung penggalnya dan kemungkinan digantikan oleh individu bukan berasal dari Pulau Pinang.

Penggal perkhidmatan Fuzi akan tamat pada 30 April ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika itu berkata individu bukan anak jati Pulau Pinang boleh dilantik ke jawatan tersebut kerana Perlembagaan Negeri tidak menetapkan bahawa Yang di-Pertua Negeri perlu berasal dari negeri itu.

Chow turut menjelaskan bahawa pelantikan Yang di-Pertua Negeri atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, manakala kerajaan negeri hanya mengemukakan senarai nama calon kepada Pejabat Perdana Menteri.

Ramli berkhidmat sebagai menteri besar Perak kelapan dari 1983 hingga 1999. Beliau merupakan Adun Kampong Gajah dari 1978 hingga 1999, sebelum menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak dari 1999 hingga 2008.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.