
Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, Saifuddin berkata Malaysia boleh menyerlahkan peranannya sebagai ketua blok serantau dengan merangka pelan jelas untuk menyelesaikan konflik berlarutan selama empat tahun.
“Cabaran utama melibatkan semua sektor termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC).
“Jika kita menjelang akhir tempoh kita sebagai pengerusi, boleh mengumumkan pelan khusus dan bila peralihan akan berlaku, itu akan menjadi KPI (petunjuk prestasi utama) terbaik.
“Ia akan menjadi bonus besar untuk Malaysia sebagai pengerusi. Tetapi saya faham ia sukar,” katanya.
Saifuddin berkata walaupun Malaysia akan mendapat manfaat dari segi diplomatik melalui penganjuran rundingan terbabit, rakyat Myanmar akan menjadi ‘pemenang’ sebenarnya.
NUG dan NUCC membentuk kerajaan Myanmar ditubuhkan selepas rampasan kuasa tentera empat tahun lalu diketuai Min Aung Hlaing, yang mencetuskan protes besar-besaran dan kekacauan awam di seluruh negara terbabit.
Kumpulan hak asasi mendakwa junta menangkap ribuan penunjuk perasaan dan aktivis sejak menggulingkan kerajaan dipilih secara demokrasi pimpinan pemimpin ikonik, Aung San Suu Kyi.
Rampasan kuasa itu menyebabkan Myanmar terjerumus dalam perang saudara pelbagai pihak dan mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Libatkan dua pihak sama rata
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mengkritik ‘layanan tidak seimbang’ Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap pihak terbabit konflik di Myanmar.
Beliau mendakwa Anwar mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan pihak junta semasa lawatannya ke Thailand 17 April lalu, namun hanya berhubung dengan NUG secara maya.
“Saya diberitahu ini disebabkan isu keselamatan atau logistik. Jika begitu, ia sepatutnya boleh dilakukan di tempat lain.
“Saya tahu mungkin kelihatan simbolik tetapi penting kerana junta sedang kehilangan kawalan. Mereka hanya menguasai kurang daripada 30% wilayah Myanmar.
“Lebih penting lagi, NUG kerajaan Myanmar dipilih secara demokratik. Mereka patut diberikan protokol sewajarnya – sama, kalau tidak lebih, daripada junta,” katanya.
Walaupun mengakui pembabitan Anwar dengan NUG julung kali berlaku bagi mana-mana pengerusi Asean, Saifuddin berkata “tindakan itu sepatutnya menjadi langkah pertama yang lebih baik”.
Pada 18 April lalu, Anwar mengadakan pertemuan maya dengan Perdana Menteri NUG Mahn Winn Khaing Thann, dalam pembabitan rasmi pertama antara pengerusi Asean dan NUG.
Pengerusi Asean sebelum ini mengelak berhubung secara langsung dengan NUG untuk mengelakkan pengiktirafan terhadap pihak bukan kerajaan dan pada masa sama menjauhi junta.
Minggu lalu, Saifuddin menyifatkan pertemuan sehari sebelum itu antara perdana menteri dan ketua junta di Bangkok sebagai ‘langkah salah’.
Ini kerana katanya Malaysia sebelum ini menolak untuk mengiktiraf junta, sama ada dalam hubungan dua hala mahupun pelbagai hala.