Aaron gesa tindakan tegas penghantar makanan hantar mesej berbaur perkauman

Aaron gesa tindakan tegas penghantar makanan hantar mesej berbaur perkauman

Menteri perpaduan berkata tindakan itu cemar nilai kesopanan dan kesusilaan serta menggugat keharmonian antara kaum.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menggesa syarikat penghantaran makanan ambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dan memperketat garis panduan tatakelakuan pekerja mereka.
KUALA LUMPUR:
Tindakan menghantar mesej berunsur penghinaan dan bersifat perkauman melalui aplikasi penghantaran makanan wajar dikenakan tindakan undang-undang, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

Merujuk laporan insiden melibatkan seorang guru sekolah yang menerima mesej itu daripada seorang penghantar makanan, Aaron berkata tindakan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali.

“Kementerian Perpaduan Negara memandang serius insiden ini kerana ia bukan sahaja mencemar nilai kesopanan dan kesusilaan masyarakat kita, malah menggugat keharmonian antara kaum.

“Pihak syarikat penghantaran makanan digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dan memperketat garis panduan tatakelakuan pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya sentiasa memupuk sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Tidak ada tempat dalam negara ini untuk sebarang bentuk diskriminasi, kebencian atau perkauman.

“Saya percaya bahawa insiden ini adalah tindakan individu dan bukan gambaran masyarakat secara keseluruhan, namun kita semua bertanggungjawab untuk membina negara yang lebih inklusif, aman dan bersatu,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan seorang guru sekolah membuat laporan polis mendakwa menerima mesej berbaur penghinaan daripada seorang penghantar makanan menerusi mesej dalam aplikasi penghantaran makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.