SPRM sambung soal siasat Ismail Khamis ini

SPRM sambung soal siasat Ismail Khamis ini

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki berkata bekas perdana menteri itu akan disoal siasat berkait pengisytiharan hartanya.

ismail sabri yaakob
Setakat ini, SPRM merakam percakapan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob selama tujuh hari, dengan sesi terakhir pada 24 Mac lalu.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob akan menyambung semula rakaman percakapan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khamis ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata fasa kedua soal siasat itu berkaitan pengisytiharan harta Ismail.

“Beliau akan dipanggil semula Khamis ini bagi meneruskan rakaman percakapan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 di sini.

“Proses rakaman percakapan berkaitan harta yang diisytiharkan sebelum ini mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009.”

Setakat ini, SPRM merakam percakapan Ismail selama tujuh hari, selepas beliau dinamakan suspek dalam siasatan ke atas empat bekas pegawai kanannya.

Sesi terakhir pada 24 Mac lalu berlangsung selama lima jam, menjadikan jumlah masa dihabiskan untuk memberi keterangan lebih 30 jam.

SPRM sedang menyiasat penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit yang dirampas dari kediaman empat pegawai serta tiga premis lain dipercayai dijadikan “safe house”.

Seorang pengurup wang turut ditahan sebagai sebahagian siasatan ke atas Ismail.

Dalam perkembangan berasingan, Azam berkata, SPRM sedang menyiasat isu ladang durian haram di Raub, Pahang.

Katanya, siasatan itu yang bermula 2021 diperluaskan untuk mengkaji kemungkinan kegagalan tadbir urus dalam pejabat tanah.

Awal bulan ini, operasi penguatkuasaan di ladang durian Musang King yang didakwa haram di Sungai Klau, Raub, menyebabkan kira-kira 200 pokok ditebang dan petani mendakwa tanaman mereka dimusnahkan secara tidak adil.

Kerajaan Pahang menafikan operasi pada 8 April lalu itu melanggar perintah mahkamah, sebaliknya menegaskan penguatkuasaan itu sah di sisi undang-undang.

Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance, Wilson Chang ditahan atas dakwaan menghalang pegawai ketika operasi dijalankan. Kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini bertitah pencerobohan tanah negeri perlu dihentikan.

Titah baginda, tanah kerajaan seluas 14,495 hektar diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah serta durian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.