SKMM soal lelaki muat naik kandungan palsu berkait kerajaan Pahang

SKMM soal lelaki muat naik kandungan palsu berkait kerajaan Pahang

SKMM berkata kandungan itu dipercayai dijana menggunakan AI dan mencetuskan pelbagai spekulasi khususnya berkaitan isu pekebun haram di Raub.

skmm
Sesi rakaman percakapan terhadap individu berkenaan dijalankan di IPD Ampang Jaya semalam.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil keterangan seorang individu dipercayai memuat naik kandungan palsu berkaitan kerajaan Pahang di platform Facebook miliknya pada 19 April lalu.

Dalam kenyataan, SKMM berkata kandungan itu dipercayai dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan mencetuskan pelbagai spekulasi serta persepsi negatif dalam kalangan orang awam, khususnya berkaitan isu pekebun haram di Raub.

Menurut agensi itu, sesi rakaman percakapan ke atas individu berkenaan dijalankan di IPD Ampang Jaya, semalam.

“Satu telefon bimbit serta satu kad SIM disita bagi tujuan analisis forensik,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

SKMM menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial untuk tujuan penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.