
Remaja itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu kereta Honda Jazz didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit salah tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Remaja itu juga didakwa di bawah Seksyen 26(1) akta sama atas kesalahan memandu tanpa lesen, memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini mencadangkan remaja itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin namun peguam Johan Radzi yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dikenakan.
Majistret kemudiannya membenarkan remaja itu diikat jamin RM4,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar lelaki sebuah sekolah menengah maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Heights.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja lelaki itu bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju ke Paroi gagal berhenti di lampu isyarat merah dan melanggar motosikal Modenas Kriss dinaiki kedua-dua pelajar berkenaan serta motosikal Honda Vario yang dinaiki mangsa dan seorang lagi rakannya.