Perpustakaan permainan komuniti dibuka di UTC Sentul tahun depan

Perpustakaan permainan komuniti dibuka di UTC Sentul tahun depan

DBKL bekerjasama dengan beberapa pihak untuk mewujudkan ruang inklusif bagi kanak-kanak pelbagai latar belakang bermain dan belajar bersama.

Maimunah Mohd Sharif bersama wakil Sentul Raya Sdn Bhd, Toy Libraries Malaysia dan Yayasan YTL menandatangani perjanjian tindakan untuk mewujudkan perpustakaan permainan komuniti di UTC Sentul.
PETALING JAYA:
Sebuah perpustakaan permainan komuniti akan dibuka di UTC Sentul oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggalakkan perkembangan awal kanak-kanak.

Inisiatif mewujudkan ruang inklusif dan ceria untuk kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang bermain itu turut membabitkan kerjasama Sentul Raya Sdn Bhd, Toy Libraries Malaysia dan Yayasan YTL.

DBKL menyokong inisiatif itu di bawah misi keterlibatan komuniti dan kebajikan awamnya, manakala Toy Libraries Malaysia membawa kepakaran dalam pembelajaran berasaskan permainan.

Sentul Raya dan Yayasan YTL pula menyumbang dari segi pembiayaan dan sokongan operasi.

“DBKL berharap lebih ramai rakan strategik dan komuniti akan menyertai usaha ini untuk menubuhkan lebih banyak perpustakaan mainan di seluruh Kuala Lumpur,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif dalam kenyataan.

Pengarah Program Yayasan YTL Kathleen Chew pula berkata kerjasama itu mencerminkan komitmennya untuk membantu kanak-kanak.

“Kami mahu bersama-sama untuk memastikan semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang, dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan,” katanya.

Perpustakaan permainan itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku pertama tahun depan.

Kemudahan itu menawarkan pelbagai jenis permainan pendidikan, buku serta sumber pembelajaran kreatif untuk kanak-kanak sehingga 12 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.