Pemimpin PKR pertahan sistem ‘blockchain’ dalam pemilihan parti

Pemimpin PKR pertahan sistem ‘blockchain’ dalam pemilihan parti

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata sistem itu paling selamat dan pastikan tiada manipulasi undi berlaku.

pengundian pkr
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata sistem ini lebih memudahkan kerana memberi ruang kepada anggota untuk mengundi secara dalam talian di mana sahaja mereka berada. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR mempertahankan sistem ‘blockchain’ yang digunakan dalam pemilihan parti itu baru-baru ini walaupun terdapat beberapa isu yang membimbangkan banyak pihak.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata sistem yang digunakan juga antara sistem paling selamat di dunia kerana tidak boleh ditembusi dan ini penting bagi memastikan tiada ada pihak boleh memanipulasi undi.

Katanya, sistem ini lebih memudahkan kerana memberi ruang kepada anggota untuk mengundi secara dalam talian di mana sahaja mereka berada, terutama di Sabah memandangkan kawasan yang luas dan jarak yang sangat jauh untuk mengundi secara fizikal.

“Memang bagi sistem baharu akan ada kekurangan namun bagi sistem yang mempunyai sekuriti kukuh seperti ‘Blockchain’ adalah mustahil untuk ditembusi.

“Mungkin berlaku sedikit kesilapan dalam sistem yang pasti boleh diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Razeef berkata antara isu yang membimbangkan sepanjang pemilihan adalah keputusan yang sangat lewat dan keputusan seolah-olah bertukar atau istilah digunakan ‘badan tanpa kepala’.

“Sebagai contoh kumpulan A ketua cabang memperoleh 700 undi namun timbalan, naib dan AJK meraih antara 1,400 hingga 1,600 undi. Namun keputusan team B pula menunjukkan ketua dapat 1,500 undi manakala calon timbalan, naib dan AJK mereka hanya meraih sekitar 600 hingga 800 undi.

“Selain itu kekalahan beberapa nama besar berjawatan menteri, timbalan menteri, Ahli Parlimen, Adun dan orang-orang besar juga menambah kekhuatiran bahawa adanya manipulasi undi,” katanya.

Bagaimanapun, Razeef berkata keputusan yang keluar belum disahkan lagi dan Jawatankuasa Pemilihan Parti membuka ruang bantahan kepada semua calon jika ada permasalahan dengan bukti kukuh.

Pada minggu lalu, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail menggesa parti menangguhkan pemilihan peringkat bahagian yang dijadualkan minggu ini susulan penemuan ‘pelik’ dalam proses pengundian yang menyaksikan beberapa nama besar penyandang ketua bahagian tewas.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata Majlis Pimpinan Pusat akan mengadakan mesyuarat pada esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.