
Ketua Cabang Razeef Rakimin mengumumkan langkah tersebut selepas suatu mesyuarat peringkat bahagian pada 8 Nov lepas, membincangkan gerak kerja bagi PRN Sabah ke-17.
“PKR Tuaran telah membincangkan untuk membantu rakan sekutu sekiranya DUN dari cabang ini tidak diumumkan untuk dipertandingkan pada majlis pengumuman calon 9 Nov lalu.
“Mengikut keputusan terkini kononnya Umno tidak membantu calon PKR di DUN Sindumin, maka kami memutuskan untuk membantu calon dari GRS bagi DUN Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu,” menurut kenyataan.
Semalam, Umno Sipitang mengumumkan ia tidak akan beri kerjasama kepada calon PKR bagi Sindumin, Yamani Hafez Musa, selaras Perkara 20.11 dan 20.13 perlembagaan Umno yang tidak membenarkan untuk membantu calon yang pernah khianat dan dipecat Umno.
Katanya, seluruh bilik gerakan di 17 pusat daerah mengundi bagi DUN Sindumin ditutup serta-merta, dan jentera Barisan Nasional di kawasan itu tidak dibenarkan sama sekali digunakan oleh mana-mana parti lain bagi tujuan kempen atau aktiviti politik.
Yamani, yang juga anak lelaki Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman, menyertai Bersatu pada Sept 2019.
Sementara itu, PKR Tuaran memutuskan hubungan dengan Upko serta-merta.
Upko menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH) selepas presidennya, Ewon Benedick, meletak jawatan sebagai menteri persekutuan pada 8 Nov lalu.