
Pada perbicaraan Najib Razak Hari ini, Brian Chia berkata, 1MDB mendapatkan khidmat Wong & Partners pada 16 Sept 2009 untuk memuktamadkan perjanjian usaha Sama bernilai USD1 bilion itu.
Draf perjanjian itu disediakan oleh sebuah firma guaman London.
“Semua pengurusan dana itu, termasuk urusan dengan bank berkaitan dan Bank Negara Malaysia, dikendalikan oleh Shahrol (Azral Ibrahim Halmi) dan Casey Tang,” kata Chia.
Shahrol ialah ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB ketika itu, manakala Tang ialah pengarah eksekutifnya.
Chia berkata, beliau hanya dimaklumkan bahawa USD300 juta telah dimasukkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI, manakala baki USD700 juta lagi dihantar ke akaun yang dicadangkan oleh PSI.
Beliau turut mengesahkan beliau menulis memorandum yang menyatakan risiko undang-undang terlibat dengan usaha sama itu.
“Saya beri nasihat dan mereka memutuskan untuk meneruskan usaha sama ini, atas dasar ia pelaburan kerajaan dengan kerajaan,” katanya.
Bekas peguam itu berkata, Shahrol bertegas perjanjian usaha sama itu mesti dimuktamadkan dan disediakan untuk ditandatangani oleh 1MDB dan PSI pada 28 Sept 2009.
“Bukan tempat saya nak persoal (keputusan itu). Saya telah beri nasihat dan amaran kepada mereka tentang risikonya,” katanya.
Apabila ditanya oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib sama ada beliau tahu Shahrol terima arahan daripada seseorang ‘(berkedudukan) lebih tinggi’, Chia berkata, beliau tidak sedar perkara itu.
Beliau memberitahu mahkamah, beliau mengenali Low Taek Jho (atau Jho Low) kerana bekas firmanya pernah memberikan khidmat guaman kepada ahli perniagaan yang diburu itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu sama ada Low yang membawa Shahrol masuk ke dalam 1MDB.
Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dikatakan dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah esok.