8 ditahan kes remaja dipukul di Masai

8 ditahan kes remaja dipukul di Masai

Suspek-suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun ditahan susulan laporan dibuat oleh mangsa, menurut polis Seri Alam.

handcuff
Kesemua suspek yang ditahan direman selama enam hari sehingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Polis menahan lapan individu susulan kejadian yang tular di media sosial menunjukkan seorang remaja dikurung dan dipukul di sebuah rumah di Masai, Johor.

Ketua Polis Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata, sebuah video berdurasi 2 minit 7 saat berhubung kejadian itu dimuat naik di laman Facebook ‘Komuniti Bandar Seri Alam’ pada 21 April sekitar 10.30 malam.

Beliau berkata mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun, membuat laporan polis menyatakan kejadian itu berlaku kira-kira 9.30 malam, 18 April lepas.

Katanya, mangsa dilapor pergi ke rumah yang terletak di Pangsapuri Plentong Baru itu selepas diundang oleh seorang kenalan perempuan melalui aplikasi media sosial.

“Setibanya di lokasi, mangsa dikurung dan dipukul oleh lapan lelaki tempatan, menyebabkan beliau mengalami luka di bibir, telinga kiri dan lebam pada badan,” katanya dalam kenyataan.

“Bertindak atas maklumat, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam menahan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 19 hingga 26 tahun sekitar 2.30 pagi, 21 April lepas.”

Tambahnya, lima suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala ujian air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Mohd Sohaimi berkata, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.

Polis turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.