
Wan Ahmad Wan Omar berkata rakyat masih perlu diyakinkan tentang ketelusan dan integriti proses yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital.
“Jika ketelusan dan integriti proses tidak diyakini, maka keputusan pilihan raya akan dipertikaikan. Ini satu isu yang besar dalam pilihan raya,” katanya kepada FMT.
Tanpa mengetepikan manfaat menggunakan teknologi canggih, Wan Ahmad mengingatkan bahawa pilihan raya suatu proses yang sensitif sekalipun bagi sebuah ‘demokrasi kecil’ seperti Malaysia.
“Sistem yang diguna pakai untuk memilih dan menentukan parti yang menang perlu menggunakan sistem dan cara yang diterima dan diyakini prosesnya oleh dua pemegang taruh utama iaitu parti politik dan pengundi,” katanya.
Wan Ahmad mendedahkan SPR pernah mengesyorkan sistem pengundian elektronik untuk menggantikan sistem kertas undi, namun tidak dipersetujui oleh parti politik utama ketika itu.
“Jika kerajaan dan pemegang taruh bersetuju untuk perkenalkan ‘e-voting’ untuk urusan pilihan raya masa depan, maka pelaksanaannya perlu dimulakan dengan PRK sebagai projek rintis bagi meneliti dan menilai kebaikan dan kelancaran perjalanan,” katanya.
Wan Ahmad menambah memperkenalkan sistem ‘e-voting’ memerlukan pindaan undang-undang selain belanja yang sangat besar.
Cadangan ‘e-voting’ atau pengundian elektronik pernah ditolak oleh Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof pada 2015, mengatakan sistem sedia ada telah diuji dari semasa ke semasa dan tidak ada bukti sistem ‘e-voting’ tidak boleh dimanipulasi.
Mengenai cadangan ‘e-voting’ akan bantu semak masalah undi rosak atau tidak sah, Mstar memetik Aziz sebagai berkata perkara itu tidak jadi isu kerana jumlah bilangan undi tersebut sentiasa diabaikan, dan hampir semua undi rosak atau ditolak ‘sengaja dibuat’.
Kelmarin, Persatuan Internet Kebendaan Malaysia saran kerajaan perkasa pengurusan pilihan raya dengan menerapkan teknologi AI dan sistem digital bagi membantu SPR laksana proses pilihan raya yang lebih cekap, telus, dan jimat.
Katanya, penggunaan teknologi seperti AI, analitik data raya (big data), sistem logistik pintar serta mesin pengundian elektronik mampu mengubah landskap pilihan raya.