Pope Francis suara keadilan dalam dunia bergolak, kata Anwar

Pope Francis suara keadilan dalam dunia bergolak, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ucap takziah kepada masyarakat Katolik atas pemergian Pope Francis.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji Pope Francis sebagai seorang yang komited pada persefahaman antara agama. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada masyarakat Katolik dan badan utama pentadbiran Gereja Katolik atas pemergian Pope Francis.

Anwar berkata beliau berdukacita atas pemergian Francis, mengatakan paus pertama dari kelompok negara membangun itu akan dikenang sebagai suara belas kasihan, kerendahan hati, dan keadilan dalam dunia yang bergolak.

Anwar memuji beliau sebagai seorang yang komited pada persefahaman antara agama, menjaga alam sekitar dan maruah golongan terpinggir, dan penyokong teguh keamanan.

Katanya, ramai pihak termasuk di dunia Islam menghormati usaha Francis membina jambatan merentasi agama dan budaya.

“Beliau bercakap mengenai penderitaan yang teruk di Gaza dengan kejelasan moral, mengingatkan dunia bahawa kita mesti menunjukkan belas kasihan kepada semua mangsa keganasan, di mana sahaja mereka berada.

“Beliau juga memperjuangkan maruah pendatang dan pelarian, menggesa masyarakat antarabangsa tangani nasib mereka dengan kemanusiaan dan hati nurani,” menurut kenyataan.

Dilahirkan di Bueno Aires, Argentina dengan nama Jorge Mario Bergoglio, Francis memikul amanah sebagai ketua Gereja Katolik dari 13 Mac 2013 sehingga kematiannya, hari ini, pada usia 88 tahun.

Francis menghembuskan nafas terakhir pada 7.35 pagi waktu tempatan di kediamannya di Casa Santa Marta, Vatican City, akibat komplikasi daripada jangkitan pneumonia baru-baru ini.

Beliau adalah paus pertama dari hemisfera selatan, dan paus pertama yang lahir atau dibesarkan di luar Eropah, sejak Pope Gregory III dari Syria pada abad ke-8.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.