
Mungkin kekalahan terbesar ialah Nik Nazmi Nik Ahmad, naib presiden PKR, menteri persekutuan dan Ahli Parlimen dua penggal yang gagal mempertahankan jawatannya sebagai ketua PKR Setiawangsa.
Nik Nazmi, yang bercadang mengemukakan rayuan, tewas kepada pelakon dan pelawak, Afdlin Shauki yang menyertai PKR kira-kira empat tahun lalu.
Nama besar lain yang turut tewas termasuk:
- Akmal Nasir di Johor Bahru, Johor;
- Adam Adli di Hang Tuah Jaya, Melaka;
- Rodziah Ismail di Shah Alam, Selangor;
- Bakhtiar Wan Chik di Balik Pulau, Pulau Pinang;
- Rizal Jamin di Lipis, Pahang;
- R Yuneswaran di Tebrau, Johor; dan
- P Prabakaran di Batu, Kuala Lumpur.
Dua daripada tujuh nama besar itu ialah timbalan menteri, seorang bekas timbalan menteri, seorang ketua PKR negeri, beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin bahagian.
Penganalisis berpendapat kekalahan tokoh berprofil tinggi menandakan rasa tidak puas hati akar umbi terhadap prestasi mereka di Putrajaya atau wakil rakyat.
Akmal Nasir, timbalan menteri dan Ahli Parlimen dua penggal, gagal mempertahankan jawatannya sebagai ketua PKR Johor Bahru, jawatan disandangnya sejak 2014. Beliau juga pengarah strategi parti dan bekas ketua Pemuda.
Seorang lagi timbalan menteri, Adam Adli, kecundang dalam perebutan jawatan timbalan ketua PKR Hang Tuah Jaya. Ketua Pemuda PKR itu merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya hanya mendapat 791 undi berbanding lawannya, Zamzizul Nordin yang menang dengan 1,905 undi.
Di Shah Alam, timbul gesaan untuk baki pemilihan bahagian ditangguhkan sehingga dakwaan “kepelikan” ditangani, selepas Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail tewas kepada Adun Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dalam saingan tiga penjuru jawatan ketua PKR bahagian itu.
Rodziah, bekas exco Selangor, membantah kekalahannya kerana beliau satu-satunya calon dalam pasukannya yang tewas. Satu aduan rasmi sudah dibuat terhadapnya kerana “menggugat” kredibiliti Jawatankuasa Pemilihan Parti.
Di Pulau Pinang, bekas timbalan menteri, Bakhtiar Wan Chik disingkirkan bekas timbalannya, Tuah Ismail bagi jawatan ketua PKR Balik Pulau.
Bakhtiar ialah Ahli Parlimen Balik Pulau penggal kedua, manakala Tuah ialah bekas Adun Pulau Betong, yang juga sebahagian daripada kawasan Parlimen Balik Pulau.
Di Johor, dua Ahli Parlimen turut tewas. Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran gagal mempertahankan jawatan ketua PKR Tebrau dalam saingan tiga penjuru, manakala Ahli Parlimen Tebrau dan bekas exco Johor, Jimmy Puah di tempat terakhir. Yuneswaran (589 undi) dan Puah (560 undi) tewas kepada ahli biasa, M Prakash yang mendapat 690 undi.
Di Kapar, bekas Ahli Parlimen, Abdullah Sani Abdul Hamid tersingkir dalam saingan empat penjuru. Beliau hanya memperoleh 618 undi.
Di Batu, P Prabakaran, ketua bahagian dan Ahli Parlimen penggal kedua, dikalahkan peguam dan bekas aktivis pelajar, Asheeq Ali. Prabakaran julung kali dipilih mengetuai bahagian itu pada 2022, apabila beliau menewaskan bekas naib presiden PKR, Tian Chua.
Ketua PKR Pahang, Rizal Jamin tewas jawatan ketua Lipis dengan hampir 100 undi, bermakna beliau turut kehilangan jawatan negeri, yang baru dilantik Oktober lalu.
Pencabar nama besar yang tewas
Naib Presiden PKR dan Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy antara nama besar yang gagal dalam perebutan ketua Bukit Bintang. Saraswathy tewas kepada Anwar Pawan Chik.
Di Pulau Pinang, Exco negeri, Fahmi Zainol dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Zakwan Mustafa Kamal gagal dalam perebutan jawatan ketua Jelutong serta Tasek Gelugor.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung gagal menyingkirkan Ketua Bahagian Hee Loy Sian, manakala Adun Rawang, Chua Wei Kiat tewas dalam perebutan jawatan ketua PKR Selayang.
Lee ialah pengarah komunikasi PKR, manakala Chua merupakan timbalan ketua penerangan parti. Kedua-duanya sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan pemilihan itu.