OKU maut, motosikal terbakar bertembung kereta

OKU maut, motosikal terbakar bertembung kereta

Mangsa merupakan remaja lelaki berusia 16 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian.

Beberapa anggota bomba berada di lokasi kemalangan membabitkan motosikal yang terbakar selepas nahas dengan sebuah kereta. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal yang dinaikinya terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta sebelum terbakar, dalam kejadian di Beaufort, malam tadi.

Remaja lelaki berusia 16 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Zulhalim Abidin berkata, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada
7.26 malam.

Katanya, bomba menggerakkan sepasukan lima anggota bersama jentera ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai bomba.

“Kemalangan membabitkan motosikal Honda EX5 dan kereta Perodua Viva. Motosikal dalam keadaan terbakar.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala pemandu Perodua Viva tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, menurut Harian Metro.

Katanya, bomba menggunakan satu aliran sumber air jentera untuk memadam kebakaran motosikal.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan. Operasi tamat pada 8.32 malam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.