
Saifuddin berkata, pada masa depan urusan melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mengutamakan pengguna berdaftar dengan platform itu yang diperkenal untuk pengesahan identiti dalam talian terbabit.

“Diskaun saman ditawarkan juga (mungkin) akan lebih tinggi kepada pengguna aplikasi (MyDigital ID). Kalau sebelum ini ada diskaun 50%, dengan aplikasi tersebut mungkin dapat 55%.
“Daftar pun senang iaitu hanya guna telefon dan prosesnya cepat,” katanya berucap pada rumah terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Saifuddin turut menjelaskan, pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara 1959 yang telah dipersetujui kerajaan membolehkan pelaksanaan identiti digital itu secara rasmi dan menyeluruh.
Tanpa menggantikan sistem MyKad, MyDigital ID yang diperkenalkan pada Disember 2023, antara inisiatif bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian.
Pada Disember 2023, Saifuddin dipetik berkata kerajaan menyasarkan mendaftarkan 10 juta pengguna bagi suku pertama 2024.
Namun, statistik MyDigital ID Sdn Bhd setakat Oktober lalu menunjukkan pendaftarannya hanya lebih sejuta orang.