
Menterinya, Nancy Shukri, berkata mesej berkaitan semangat cintakan negara dan penghormatan terhadap Jalur Gemilang itu akan turut disampaikan menerusi program keibubapaan anjuran kementerian berkenaan.
“Masih ramai mengambil ringan betapa pentingnya kita menghormati Jalur Gemilang sebagai rakyat Malaysia. Justeru, program sebegini dianjurkan supaya tidak berlaku kesilapan seperti tertinggal corak atau komponen pada bendera, mahupun kesalahan dalam cara menggantung bendera.”
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang bagi Institusi Pendidikan bawah KPM Peringkat Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abdul Wahab, di sini.
Sebelum ini, KPM memaklumkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada seragam pelajar akan dilaksanakan berperingkat di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya mulai hari ini.
Langkah itu membabitkan sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, kolej matrikulasi serta institut pendidikan guru dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan warga pendidik.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata 885,634 lencana Jalur Gemilang akan diedarkan ke sekolah kerajaan di negeri ini.
“Setiap pelajar akan menerima dua unit lencana. Pengedaran kepada sekolah telahpun bermula hari ini dan akan dilakukan secara berperingkat sehingga hujung April membabitkan 442,817 pelajar.”