Kenapa takut dengan saya, soal ketua Pemuda Umno

Kenapa takut dengan saya, soal ketua Pemuda Umno

Dr Akmal Saleh mempertikaikan tindakan pihak lawan menggunakan gambarnya untuk menakut-nakutkan pengundi di DUN Ayer Kuning.

Poster prk ayer
Poster memaparkan gambar Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh digunakan di PRK DUN Ayer Kuning. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempertikaikan tindakan pihak lawan yang menggunakan gambarnya dalam poster kempen di DUN Ayer Kuning, walaupun beliau bukan calon pada PRK itu.

Menurut Akmal, poster itu turut memaparkan tulisan dalam bahasa Cina yang diterjemahkan sebagai ‘Undi BN = Undi Dr Akmal’, satu tindakan disifatkannya pelik dan seolah-olah cuba menimbulkan ketakutan terhadap dirinya.

“Kenapa perlu letak muka saya dan perlu letak tulisan Cina yang membawa maksud sedemikian? Takutkah dengan Dr Akmal ni?” soalnya di Facebook, sambil memuat naik poster kempen calon PSM, KS Bawani.

“Ingatkan peguam faham perlembagaan, tetapi sayang retorik juga rupanya,” kata Akmal.

Bawani yang juga peguam hak asasi manusia ialah pengerusi PSM Perak dan pernah bertanding di DUN Ayer Kuning pada PRU 2022 mewakili PSM, namun hilang deposit apabila hanya memperoleh 586 undi.

Akmal berkata, pengundi Ayer Kuning tidak perlu takut dengannya selagi mana-mana pihak tidak menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja).

“Tidak perlu takut dengan saya selagi mana kamu tidak menyentuh agama, bangsa dan raja-raja yang termaktub dalam perlembagaan saya pun tidak akan menyentuh kamu.

“Tetapi kamu berani sentuh sahaja walau sedikit, tidak akan kami berganjak seinci sekalipun untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air kita,” tegasnya.

Akmal menyeru pengundi Ayer Kuning tidak bimbang mengundi Barisan Nasional (BN), dengan menegaskan parti itu terbukti konsisten mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Siapa sekalipun yang menyentuh, tidak kira kawan mahupun lawan, kami akan tetap lawan. Kempenlah secara sihat,” katanya.

Hari pengundian PRK Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN (Mohamad Yusri Bakir), PN (Abdul Muhaimin Malek) dan PSM (Bawani).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.