
Surat tuntutan itu juga berkait tuduhan Rafidah iaitu Khalid cuba menghilangkan tanah rizab Melayu termasuk di Kampung Baru secara keseluruhan.
Bercakap pada sidang media, Khalid berkata surat tuntutan berkenaan disampaikan melalui peguamnya Hisham Fauzi & Associates kepada penduduk Kampung Sungai Baru itu pada 17 April lalu.
Pemimpin Amanah itu meminta Rafidah memohon maaf dan menarik balik kenyataannya menerusi video di TikTok selain menuntut ganti rugi.
“Untuk nak hentikan perkara ini saya tiada pilihan kerana tuduhan yang dibuat oleh Rafidah, tuduhan yang liar yang tidak bertanggungjawab dan saya terpaksa saman dia kerana kalau tak dia akan teruskan (buat video).
“Jadi, kalau dia masih tak dapat surat itu, mana tahu dia berpindah ke…kita nak maklumkan surat tu kita telah minta peguam siapkan (serah kepada Rafidah) dan kalau tak dapat jumpa dia di rumah (Kampung Sungai Baru) kita akan jumpa dia di tengah jalan, bila tengah buat video TikTok ke apa, kita serahkan surat pada dia,” katanya.
Baru-baru ini, Rafidah menerusi akaun TikToknya dilihat menaiki sebuah pacuan empat roda mengelilingi kawasan Kampung Sungai Baru sambil melontarkan bantahan dengan menggunakan pembesar suara.
Beliau menyeru penduduk Kampung Sungai Baru kekal menetap di kediaman masing-masing berikutan tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kawasan berkenaan.
Susulan isu Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang kembali hangat diperkatakan, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani akan mengadakan sidang media khas minggu ini bagi menjelaskan perkara itu.
Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, pihak yang berkaitan iaitu penduduk kampung dan NGO akan turut diundang menghadiri sidang media itu.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan.
Pada Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, adalah berdasarkan rundingan dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan mahupun desakan.
Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.