Ismanira sepatutnya beri pengakuan, perbicaraan Zayn Rayyan diberitahu

Ismanira sepatutnya beri pengakuan, perbicaraan Zayn Rayyan diberitahu

Pegawai penyiasat Hafizee Ismail berkata dia kemudiannya terima arahan dakwa pasangan itu atas tuduhan pengabaian kanak-kanak.

Zayn Rayyan Abdul Matiin
Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari dibicarakan atas tuduhan pengabaian kanak-kanak autistik berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak membabitkan Zayn Rayyan Abdul Matiin diberitahu ibu kepada kanak-kanak autisme itu sepatutnya dibawa menghadap pegawai kehakiman bagi merekodkan pengakuannya, kira-kira enam bulan selepas anaknya ditemui mati.

Pegawai penyiasat, Hafizee Ismail, ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen berkata, beliau memaklumkan kepada Ismanira Abdul Manaf bahawa dia akan dibawa menghadap majistret untuk dirakam pengakuannya mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

“Saya maklumkan kepadanya kira-kira jam 10 malam bahawa pengakuan akan direkodkan kira-kira jam 9 pagi pada 12 Jun 2024,” katanya saksi pendakwaan ke-28 dalam kenyataan saksinya, tanpa mengulas lanjut.

Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, kedua-duanya 30 tahun, ditahan pada 31 Mei dan direman selama 14 hari – tempoh maksimum yang dibenarkan undang-undang.

Hafizee berkata, kira-kira jam 4 petang pada 13 Jun, beliau menerima arahan untuk mendakwa pasangan itu atas kesalahan mengabaikan anak lelaki mereka yang berusia enam tahun sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di PJU Damansara Damai antara jam 12 tengah hari pada 5 Dis – ketika mangsa dilaporkan hilang – hingga jam 9.55 malam keesokan harinya, apabila mayatnya ditemui di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh selepas hasil bedah siasat mendedahkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Hari ini, Hafizee beritahu mahkamah bahawa beliau mengiringi Ismanira dari lokap polis kira-kira jam 9 pagi pada 10 Jun ke rumah keluarga itu di Apartment Idaman untuk lakonan semula kejadian dari waktu kanak-kanak itu dilaporkan hilang hingga mayatnya ditemui.

“Saya arahkan pasukan polis dari Bukit Aman merakam proses lakonan semula tersebut yang mengambil masa kira-kira dua jam,” katanya.

Katanya, rakaman itu dimuat turun ke dalam pemacu pena (pen drive) dan diserahkan kepadanya kemudian.

Pegawai polis itu turut memberitahu bahawa pada 12 Dis, seminggu selepas kejadian, beliau menerima laporan awal daripada Jabatan Kimia yang mengesahkan terdapat objek asing di dalam kerongkong mangsa.

“Objek itu disahkan sebagai daun pokok pulai. Berdasarkan siasatan saya, terdapat sebatang pokok pulai kira-kira 10m dari lokasi mayat mangsa ditemui,” katanya.

Pihak pendakwaan turut mengemukakan kira-kira 50 barang kes melalui Hafizee, yang pada awalnya menyiasat kes ini sebagai kes bunuh.

Peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh mewakili pasangan suami isteri itu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz mengetuai pendakwaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.