Hospital repot polis lelaki menyamar penolong pegawai perubatan

Hospital repot polis lelaki menyamar penolong pegawai perubatan

Jabatan Kesihatan Perlis berkata lelaki berusia 23 tahun itu lengkap dengan uniform dan beg peralatan perubatan.

Hospital repot polis
Lelaki itu mengaku mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion penolong pegawai dan perubatan membeli pakaian seragam serta peralatan perubatan melalui platform atas talian.
PETALING JAYA:
Sebuah hospital kerajaan di Perlis membuat laporan polis selepas seorang lelaki berusia 23 tahun dilaporkan menyamar sebagai penolong pegawai perubatan, lengkap dengan uniform dan beg yang lengkap dengan kelengkapan perubatan.

Jabatan Kesihatan Perlis berkata kejadian itu berlaku di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis pada 9.28 malam, 8 April lalu.

“Pihak hospital mengesahkan lelaki itu mengaku membeli pakaian seragam serta peralatan perubatan berkenaan melalui platform atas talian.

“Pelaku menyatakan dia mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion penolong pegawai perubatan,” kata kenyataan itu.

Katanya, laporan polis mengenai kejadian itu dibuat pada 9 April lalu dan tindakan selanjutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Jabatan itu juga mengarahkan HTF untuk memperketatkan pemantauan keselamatan di kawasan hospital bagi mengelakkan kejadian sama berlaku di masa depan.

“Kami juga mahu mengingatkan orang awam bahawa penyamaran sebagai penjawat awam di mana-mana institusi adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata kini polis sedang menyiasat secara terperinci mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

“Untuk makluman awal pihak polis ada terima laporan. Siasatan sedang dijalankan pihak polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.