
Dalam ucapan penggulungan di DUN Perak hari ini, Woo berkata gambar Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria itu sebagai satu kaedah sindiran berdasarkan fakta yang menjadi salah satu aspek dalam demokrasi.
“Saya tahu ada yang ‘koyak’ dengan gambar kenyataan media saya di mana saya katakan seseorang itu raja fitnah bau busuk tidak berbangkai.
“Dalam demokrasi, anda boleh sindir dan saya boleh menentangnya dan pada masa sama, saya boleh sindir dan anda boleh menentangnya. Ini hak masing-masing,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata.
Terdahulu, Razman menuntut Woo yang juga ketua Pemuda DAP memohon maaf secara terbuka dan menyifatkan gambar itu sebagai provokasi serta kesalahan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Pesuruhjaya PAS Perak berkata, beliau akan membuat aduan dan tindakan perundangan kepada exco itu jika Woo tidak memohon maaf dan menurunkan kandungan tersebut dalam tempoh 24 jam.
Beliau juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Woo.
Woo turut memetik contoh Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang sebelum ini secara tenang dan mengucapkan terima kasih selepas beliau dijadikan subjek karikatur sindiran.
“Namun, apabila benda ini berlaku pada pihak yang berbuat demikian pula, koyak dan marah-marah,” kata Adun Pasir Bedamar itu.
Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mengecam tindakan PN yang menggunakan karikatur untuk menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Loke ketika hari penamaan calon PRK Ayer Kuning pada 12 April lalu.
Nga berkata tindakan itu langsung tidak menyumbang kepada pembangunan negara.