Dr Sam serah memorandum bantah pengawasan melampau kepada Suhakam

Dr Sam serah memorandum bantah pengawasan melampau kepada Suhakam

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berharap memorandum itu akan menghentikan salah guna kuasa ke atasnya.

Mohd Soud Said menyerahkan memorandum bantahan pegawasan melampau kepada Pengerusi Suhakam Mohd Hishamudin Yunus. (Gambar Ahmad Samsuri Mokhtar)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung perintah kawalan perjalanan (TCO) dikenakan terhadapnya.

Memorandum itu diserahkan Setiausaha Politiknya Mohd Soud Said bersama peguam Kamilia Ibrahim.

“Penyerahan memorandum ini sebagai satu langkah tegas untuk membantah pengawasan melampau yang boleh disifatkan sebagai intimidasi politik dan pencabulan hak asasi ke atas diri saya.

“Melalui memorandum ini, saya berharap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dihentikan segera,” katanya di Facebook.

Samsuri yang lebih dikenali Dr Sam juga menyeru institusi penguatkuasaan diperkukuh dengan prinsip kebertanggungjawaban bagi memastikan tiada lagi pemimpin atau rakyat menjadi mangsa tekanan politik.

“Ini penting bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan demokrasi negara”, katanya.

Pada 10 April lalu, Samsuri mendakwa beliau ditandakan sebagai individu berisiko dalam sistem kawalan sempadan Malaysia, malah telefonnya turut dipintas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tokoh penting (VIP) memang lazim ditandakan dan beliau sendiri turut dikenakan pemantauan sedemikian.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail turut menyangkal dakwaan Samsuri dengan berkata, menteri besar tidak perlu diintip kerana sudah diberikan kawalan keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain juga berkata, pihak berkuasa tidak pernah meletakkan nama Samsuri sebagai individu berisiko sehingga menyebabkan pergerakannya dipantau ketat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.