
Bekas Ahli Parlimen Shah Alam berkata, ada mekanisme lain lebih praktikal seperti berdasarkan jenis kenderaan yang dibentangkan sebuah syarikat perunding kepada Kementerian Kewangan awal tahun lalu.
Namun, beliau diberitahu syarikat terbabit tidak mendapat maklum balas MoF yang mengumumkan penggunaan MyKad, berdasarkan pengumuman Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, bulan lalu.

“Penggunaan MyKad menjurus isu salah guna dan manipulasi pemiliknya. Misalnya, yang bawa kereta mewah itu ‘driver’ dia, jadi kalau guna IC ‘driver’, akan dapat kadar B40 atau M40.
“Jadi, ia tetap tidak mencapai sasaran sebenar dan menjadikan pendekatan berasaskan MyKad sebagai tidak munasabah,” katanya pada sidang media.
Bulan lalu, Amir dilaporkan berkata kerajaan akan menyalurkan subsidi RON95 kepada rakyat layak melalui pengesahan MyKad selaras keberkesanannya dalam menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau menegaskan, 85% rakyat negara ini tidak akan terkesan dengan pelaksanaan subsidi bersasar mengikut dua peringkat harga iaitu bersubsidi dan tanpa subsidi.
Mengulas lanjut, Khalid berkata agihan subsidi bersasar menerusi jenis kenderaan dicadangkan syarikat terbabit mampu mengenal pasti kenderaan mewah seperti Bentley atau Mercedes-Benz untuk dikenakan harga tanpa subsidi tanpa perlu bergantung kepada data peribadi pengguna.
“Saya lihat pendekatan ini jauh lebih munasabah dan mengurangkan beban kerajaan,” katanya yang turut difahamkan sistem tersebut ditawarkan secara percuma untuk tempoh percubaan dan caj hanya akan dikenakan berdasarkan peratusan penjimatan subsidi selepas dilaksanakan kelak.
Beliau turut mendakwa, kenderaan dalam kategori T15 (kenderaan mewah) sudah mempunyai data pendaftaran lengkap yang boleh digunakan terus untuk pelaksanaan sistem berkenaan.
“Saya minta MoF respons kenapa pilih MyKad sedangkan kita tahu ada macam-macam masalah boleh dihadapi termasuklah geng B40 tunggu dekat stesen minyak, pinjamkan MyKad mereka…orang boleh sewakan MyKad dia untuk beli minyak,” katanya.