
Ketua Pengarah Nor Hisham Mohamad berkata siasatan dimulakan susulan aduan berhubung kenyataan yang dibuat oleh anggota terlibat.
Menurut beliau, komen jelik tersebut menyentuh isu sensitif seperti agama, kaum, institusi diraja (3R) dan politik, malah turut melanggar arahan tetap jabatan berkaitan tatakelakuan di media sosial.
“Komen tersebut lebih bersifat peribadi serta menyentuh tingkah laku individu. Satu pasukan penyiasat akan ditubuhkan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya pada majlis penganugerahan pingat perkhidmatan bomba Kelantan.
Beliau berkata media sosial kini menjadi alat komunikasi yang berpengaruh dengan platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube mampu membentuk naratif, mempengaruhi pandangan awam serta membina imej sesebuah organisasi.
“Jika digunakan secara bijak dan beretika, media sosial boleh menjadi senjata ampuh untuk mempromosi serta memperkukuh imej jabatan.
“Namun, pengurusan persepsi di media sosial amat penting. Kita perlu meneliti dan mengurus perkara ini dengan cermat agar tidak disalahgunakan, terutama apabila kritikan dibuat secara melulu, beremosi atau menyentuh isu sensitif sehingga menjejaskan kredibiliti jabatan,” katanya.
Beliau turut merujuk insiden melibatkan seorang pegawai bomba Kelantan yang membuat komen jelik berbaur politik tidak wajar di media sosial, baru-baru ini.
“Secara jujur, insiden itu telah mencetuskan persepsi negatif masyarakat terhadap akauntabiliti pegawai terlibat dan menjejaskan kredibiliti jabatan sebagai agensi yang menjunjung nilai integriti serta profesionalisme.”
Beliau berkata penjawat awam perlu kekal berkecuali dalam menyatakan pandangan serta mengelak daripada membuat kritikan tidak berasas atau menyebarkan maklumat palsu memandangkan bomba tertakluk kepada peraturan dan arahan sedia ada.
Terdahulu, media melaporkan seramai 18 anggota jabatan diberi surat amaran manakala seorang anggota bomba bantuan digantung tugas selama tiga bulan atas kesalahan melanggar peraturan media sosial.