
Ketua Polis Kubang Pasu Radzi Abdul Rahim berkata, lelaki berusia 37 tahun yang memandu bas di bahagian depan diambil keterangan semalam manakala seorang pemandu bas berusia 32 tahun yang disyaki menyebabkan kemalangan itu ditahan kira-kira 4.30 petang tadi.
“Lelaki itu kemudiannya dilepaskan selepas selesai memberi keterangan dan hasil saringan urin juga negatif,” katanya dalam kenyataan.
“Pemandu berkenaan memberi kerjasama yang baik dan hanya memaklumkan dia tidak sedar bas di depan berhenti.”
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan lebam pada jantung yang berpunca daripada hentakan atau pelanggaran melibatkan kenderaan.
Semalam, Bernama melaporkan seorang mahasiswa UUM, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, maut dihimpit bas ketika sedang berjalan kaki menunggu giliran menaiki bas di dalam kawasan kampus.
Mangsa yang berasal dari Johor disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam dirawat di hospital.