Pelajar UUM maut dihimpit bas

Pelajar UUM maut dihimpit bas

Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, cedera di bahagian badan selepas dihimpit ketika tunggu giliran naik bas.

pelajar uum maut
Dua bas terlibat dalam kemalangan di UUM pagi tadi, mengakibatkan seorang pelajar semester empat maut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua bas dekat Jalan Persiaran Perdana, UUM, pagi tadi.

Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang cedera pada bahagian badan disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, lapor Bernama.

Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kejadian kira-kira 8.45 pagi itu berlaku apabila pemandu bas berusia 37 tahun sedang berhenti di depan perhentian bas untuk mengambil penumpang.

Bas itu kemudian dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi bas dipandu lelaki berusia 32 tahun, katanya.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan bas yang berada di hadapan menggelongsor ke hadapan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terus menghimpit mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki menunggu giliran menaiki bas,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Radzi berkata, mangsa yang berasal dari Johor Bahru itu dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM Prof Ahmad Martadha Mohamed menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelajar semester empat Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian itu.

“Susulan kemalangan membabitkan bas kitaran kampus itu, pihak universiti sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Keselamatan UUM dan telah menghubungi pihak polis berkaitan perkara itu.

“Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh, laporan lengkap akan menyusul,” katanya menerusi Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.