Lantik hakim: Bekas ketua hakim negara seru kekalkan peranan PM

Lantik hakim: Bekas ketua hakim negara seru kekalkan peranan PM

Abdul Hamid Mohamad kata mengenepikan perdana menteri tidak jamin orang-orang yang bebas akan dilantik menjadi hakim.

Tun Abdul Hamid Mohamad
Bekas ketua hakim negara, Abdul Hamid Mohamad, kata pelantikan Tengku Maimun Tuan Mat pada Mei 2019 sama ada ia mengikut peraturan yang ditetapkan Akta SPK tidak dipersoalkan.
PETALING JAYA:
Seorang bekas ketua hakim negara seru peranan perdana Menteri berhubung pelantikan hakim di dalam Perlembagaan dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dikekalkan.

Abdul Hamid Mohamad berkata mengenepikan perdana menteri, sama ada dalam menasihatkan Yang di-Pertuan Agong atau melantik empat daripada sembilan ahli SPK tidak menjamin kebebasan badan kehakiman.

Beliau juga berkata ia mungkin membuka ruang kepada ‘pemerintahan diktator ketua hakim negara’, yang turut menganggotai SPK bersama tiga pentadbir kehakiman lain dan seorang hakim kanan di Mahkamah Persekutuan.

“Katakanlah perdana menteri berjaya diketepikan dan, dengan itu, pelantikan orangnya dapat dielakkan. Adakah itu menjamin orang-orang yang bebas akan dilantik menjadi hakim?

“Saya tidak hairan jika seorang ketua hakim negara akan memilih hakim-hakim yang sekata dengannya untuk mewujudkan korum yang akan menyokong pendapatnya dalam sesuatu isu dan mempertahankan pendapat itu selepas persaraannya.

“Konfrontasi dan penyingkiran perdana menteri bukanlah cara yang betul. Konfrontasi akan melahirkan counter-konfrontasi. Menyingkirkan perdana menteri untuk mengelak ‘dictatorship of the prime minister’ mungkin menggantikannya dengan ‘dictatorship of the chief justice’,” menurut kenyataan.

Hamid, yang berkhidmat sebagai ketua hakim negara dari November 2007 hingga 2008 berkata SPK hendaklah dikekalkan, serta semua pihak yang terlibat mestilah berusaha pastikan ia berhasil dan bukan untuk menguatkan kedudukan masing-masing dengan mengenepikan yang lain.

Isu pelantikan kehakiman menjadi perhatian apabila Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman, dan mengukuhkan keadilan dalam proses pemilihan hakim, memastikan pelantikan hakim berasaskan merit.

Keesokannya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan semula kerangka Akta SPK, yang berkuat kuasa sejak 2010, untuk memastikan proses pelantikan kehakiman mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman.

Pelantikan Tengku Maimun

Pada 2018, Majlis Peguam menyerahkan kepada kerajaan kertas kerja untuk menyemak Akta SPK atas kebimbangan bahawa proses pelantikan hakim tidak bebas daripada pengaruh eksekutif.

Hamid menyoal adakah pelantikan Tengku Maimun pada Mei 2019 dibuat menurut prosedur yang ditetapkan oleh Akta SPK.

Hamid berkata, bekas peguam negara Tommy Thomas dalam bukunya mengatakan bahawa beliau mencadangkan nama Tengku Maimun kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, yang bersetuju dan membawa namanya ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat persetujuan.

Menurut Hamid, pelantikan Tengku Maimun disambut dengan gembira tetapi sama ada pelantikan itu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Akta SPK tidak dipersoalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.