
Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata berbanding sibuk mencanang kerjasama politik parti lain, PAS perlu guna ruang pembangkang bagi membangkitkan isu rakyat.
“PAS perlu bawa isu-isu seperti sosioekonomi, isu tanah dan perumahan, serta isu ketelusan dan kecekapan institusi pentadbiran negeri.
“Isu kerjasama Umno-DAP lebih berbentuk emotif dan akan kurang berkesan sekiranya terlalu kerap diulang,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas gesaan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria meminta pengundi PRK Ayer Kuning memberi ‘signal’ kepada Umno yang ramai tidak bersetuju kerjasama dengan DAP menerusi kerajaan perpaduan.
Adun Gunung Semanggol itu mendakwa Umno memungkiri janji untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim, merujuk kepada laungan Presiden Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2020 berlangsung Mac 2021.
Rabi’ah berkata serangan PAS terhadap DAP bukan perkara baharu kerana parti itu menggunakan kaedah sama sejak sekian lama dan boleh dikatakan telah tepu.
Katanya, ia harus dihentikan kerana kenyataan-kenyataan daripada DAP kini ‘lebih lunak’ selepas bekerjasama dengan Umno.
Syaza Shukri dari UIAM berkata rakyat tidak boleh menerima pendekatan kempen PAS kerana parti itu tidak memperincikan sebab utama mengapa mereka perlu tolak Umno pada PRK Ayer Kuning.
Bagaimanapun Syaza tidak menolak kemungkinan PAS membawa naratif berkenaan disebabkan sukar memberikan janji-janji substantif sebagai pembangkang di persekutuan dan Perak.
“Tetapi mereka sepatutnya menjadi pembangkang yang membawa idea-idea baru,” katanya.